Komen Atau Ulasan -
Baucer Buku 1 Malaysia.
Bantuan
baucer buku 1Malaysia merupakan pemberian dari kerajaan yang telah
dilancarkan pada tahun 2012 sempena Bajet 2012. Kini telah
berlanjutan kali kedua mengikut Bajet 2013. Menerusi peruntukan
tersebut kerajaan telah mengagihkan bantuan kepada para pelajar
sebanyak RM250.00 setiap seorang bermula pelajar Tingkatan 6 hingga
ke pelajar universiti di seluruh Malaysia. Kenaikan sebanyak RM50.00
dari tahun sebelumnya. Keprihatinan kerajaan dalam menyediakan
peruntukan tersebut seperti 'bulan jatuh ke
riba' untuk para pelajar seperti penulis.
Kejayaan pengagihan pendapatan rakyat untuk rakyat menjelaskan kepada
kita bahawa kerajaan tidak melupakan rakyat dalam apa jua agendanya.
Penulis
sangat bersyukur kepada Allah S.W.T dan berterima kasih kepada
kerajaan menerusi Kementerian Pengajian Tinggi yang melaksanakan
program ini. Penulis rasa gembira kerana dapat menikmati kali kedua
berikutan masih belajar untuk tahun akhir program Ijazah Komunikasi
(PJJ UPM). Peluang ini dapat digunakan untuk membeli buku dan
peralatan akademik yang diperlukan.Walaupun ada sesetengah pihak yang
telah mengambil kesempatan terhadap sumbangan yang diberikan, seperti
menawarkan penukaran baucer tersebut dari pelajar dengan nilai yang
kurang dari sepatutnya. Misalnya RM200.00 tetapi ditukarkan dengan
nilai RM180.00.(kurang RM20.00). Jika seorang pelajar sahaja boleh
diraih RM20.00 bayangkan kalau sepuluh orang pelajar. Betapa
untungnya mereka. Membuat duit dengan sekelip mata sahaja. Sikap
individu yang tidak bertanggungjawab ini perlu dilihat sebagai satu
platform kepada perkara yang negatif. Mungkin pelajar tidak menyedari
yang mereka sebenarnya telah diperdaya oleh golongan seperti ini.
Sikap
pelajar yang mengambil jalan mudah untuk mendapatkan wang tunai
sangat mendukacitakan. Kenapa perlu berbuat demikian, sedangkan
baucer yang diberi perlu digunakan dengan sebaik mungkin, bukannya
ditukar dengan sesuka hati. Kadangkala jika difikirkan kenapa nak
rugi daripada untung?. Mungkin mereka rasa setakat duit RM200.00 atau
RM250.00 satu nilai yang sedikit, tetapi cuba kita lihat kepada
golongan yang tidak bernasib baik. Pastinya nilai ini sangat bermakna
kerana mereka dapat mengurangkan beban ibu dan ayah mereka. Sudah
tentu mereka berasa gembira kerana dapat membeli buku dan alatan yang
sebelum ini sukar untuk dibeli. Sanggupkah kita melihat sumbangan ini
ditarik balik oleh kerajaan. Bagaimanakah harapan golongan yang
kurang bernasib baik?.
Penulis
pasti kerajaan sedang melihat kejayaan sumbangan yang diberikan,
dimanfaatkan atau sebaliknya. Penulis percaya individu yang menukar
baucer terbabit bertindak demikian kerana ada tawaran yang menarik
dari luar. Pembelian telefon pintar dan aksesori yang canggih
merupakan agenda utama untuk menukar baucer terbabit. Tanpa rasa
bersalah sanggup rugi sedikit untuk mendapatkan tunai demi membeli
barangan yang tidak sepatutnya.Terpulang kepada mereka kerana baucer
ini diberikan kepada pelajar yang berada pada tahap matang (18 tahun
ke atas) yang boleh berfikir dengan bijak bukan murid sekolah rendah
yang baharu mengenal a,b,c.
Sejak
wujudnya pemberian baucer ini, ramai pelajar tidak senang duduk untuk
menggunakan baucer yang akan diberikan kali kedua. Pelbagai
perancangan telah diatur untuk membeli barang-barang yang diinginkan
nanti. Pada pendapat penulis baucer ini perlu diperketatkan supaya
tidak boleh ditukarkan dengan sewenang-wenangnya. Pemberian baucer
ini sepatutnya digunakan dengan sebaik mungkin agar menepati matlamat
kerajaan yang sanggup meluluskan peruntukan di kabinet. Sumbangan ini
perlu diberi bukan sekadar melepaskan batuk di tangga. Perlu ada
signifikan dalam menterjemahkan sumbangan ini agar dapat digunakan
mengikut tujuan asal. Pemantauan perlu dilaksanakan terhadap proses
pemberian sumbangan ini kepada pelajar agar mereka menggunakan baucer
tersebut dengan betul.
Penulis
berpendapat tindakan tegas seperti menarik balik pemberian baucer
buku tersebut dari pelajar yang menyalahgunakan pemberian ini, pada
masa yang akan datang. Pelajar terbabit akan disenaraihitamkan dan
tidak layak untuk diberikan bantuan. Tindakan kepada pekedai yang
bersekongkol dengan pelajar terbabit pula perlu dibatalkan sebagai
pembekal buku yang dilantik oleh kerajaan. Penulis mencadangkan agar
pemberian ini benar-benar mencapai matlamat, satu ketetapan perlu
dibuat iaitu dengan meletakkan syarat-syarat seperti bil pembelian
buku hendaklah diserahkan kepada pihak sekolah atau universiti
sebagai bukti penukaran.
Pihak
berkuasa juga telah mendapat beberapa laporan berhubung isu ini.Ketua
Polis Daerah Putrajaya, Assisten Komisioner Abdul Razak Abdul Majid,
telah memaklumkan terdapat laporan daripada Pegawai Kanan Kementerian
Pengajian Tinggi berhubung isu ini. Menurut Ketua Polis Daerah
Putrajaya, pihaknya akan mengambil tindakan undang-undang di bawah
Seksyen 403 Kanun Keseksaan atas kesalahan menyalahgunakan harta
dengan curang. Pelajar IPT awam dan swasta yang menjual dan melelong
Baucer Buku 1Malaysia termasuk di laman web boleh dikenakan penjara
tidak lebih 5 tahun termasuk denda dan sebatan.
Pada
pendapat penulis wajar atau tidak tindakan pihak berkuasa terhadap
isu ini tidak penting, sebaliknya penulis berasa bersimpati dengan
para pelajar kita yang tidak bersyukur dengan anugerah yang
diberikan. Pemberian dalam bentuk baucer ini sangat baik untuk semua
pelajar. Tetapi disebabkan 'nila setitik, rosak susu sebelanga'
yang mengambarkan
hanya segelintir individu yang bersikap sedemikian, namun merosakkan
nilai dan identiti pelajar lain yang tidak melakukannya.Oleh itu,
penulis berharap tindakan yang diambil oleh pihak berkuasa ini dapat
dijadikan ikhtibar kepada semua agar menyedari hakikat diri tentang
amanah yang diberi, jangan sampai tindakan memakan diri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan