Sabtu, 24 November 2012

Panduan Atau Petua


Petua Menghilangkan Tapak Tangan Yang Kasar

Kecantikan wanita tidak hanya pada wajah dan kulit yang mulus, tetapi perlu juga memelihara anggota tubuh badan yang lain seperti tangan. Fokus petua kali ini ingin mencungkil beberapa petua yang boleh menghilangkan tapak tangan yang kasar.

  • Perlu memakai sarung tangan .
Salah satu cara untuk mencegah kulit kasar dengan memakai sarung tangan ketika membuat kerja-kerja harian seperti berkebun dan mencuci pinggan mangkuk.

  • Petua yang kedua dengan menggunakan kopi
Ramai sedia maklum kopi hanya untuk di minum, namun ada kelebihan lain pada kopi.Setelah kita membancuh kopi, hampasnya jangan dibuang. Hampas tersebut boleh digunakan semula untuk menggosok tangan.Biarkan selama 10 minit.Kemudian basuh sehingga bersih. Setelah tangan dicuci anda akan rasa perbezaannya. Tangan menjadi lembut dan halus. Tujuan hampas kopi ini sebagai scrub untuk menghilangkan kulit mati pada permukaan yang kasar.

  • Penggunaan Kulit Pisang dan Ubi Kentang
Pisang yang kaya dengan vitamin C sangat baik untuk kulit. Keistimewaan kulit pisang selain isinya yang enak adalah boleh melembutkan tapak tangan yang kering, begitu juga kulit kentang. Caranya dengan menggosokkan kulit pisang dan kulit kentang di tapak tangan, kemudian cuci dengan air limau nipis.Kekerapan untuk melakukannya di rumah akan menjadikan tangan anda bersih dan lembut.

  • Khasiat Daun Betik
Jika buahnya manis, daunnya sangat pahit, tetapi kegunaannya sangat hebat. Daun betik yang tua boleh digunakan untuk melembutkan kulit. Caranya ambil daun betik yang tua dan ramas dengan tangan. Biarkan seketika, kemudian dibasuh menggunakan air yang bersih. Kepahitan lendirnya dan permukaan yang kasar sebagai ubat untuk kulit tangan yang kasar. Lakukan 2 hingga 3 kali seminggu untuk mendapatkan hasil yang lebih baik.

  • Penggunaan Krim Tangan
Jika tidak suka menggunakan petua yang diberikan di atas anda boleh menggunakan krim tangan yang bersifat cecair di mana-mana farmasi. Tetapi perlu diingatkan cara penggunaannya. Ianya boleh digunakan pada bila-bila masa asalkan anda tidak lupa membasuh dan membersih tangan dan keringkan dengan tuala yang bersih sebelum disapukan dengan krim tersebut.

Selamat mencuba petua ini, semoga petua ini membantu anda semua dalam menjalani kehidupan seharian. Selamat tinggal kulit bermasalah!!!

Catatan Peristiwa


Pengalaman Pahit - Senario di Hospital ,Ipoh 2011

          Jam 5.30 pagi, saya terjaga dari tidur kerana terdengar suara anak saya susah hendak bernafas dan suhu badannya yang agak panas. Dalam keadaan yang kelam kabut saya mengejutkan suami dan membawa anak ke hospital yang terletak kira-kira 12km dari rumah . Fikiran saya waktu itu,amat takut memandangkan penyakit (H1N1) telah menular dengan begitu meluas. Saya memikirkan anak saya mungkin mendapat simtom penyakit tersebut. Mujurlah waktu itu kenderaan tidak banyak di atas jalan raya dan saya dapat bergerak dengan cepat.
          Tiba di hospital , saya terus membawa anak kami ke bahagian kecemasan. Memandangkan orang tidak ramai waktu itu, saya harap akan mendapat perkhidmatan yang cepat, namun apa yang saya dapati pegawai yang bertugas waktu itu tidak memberi perhatian yang sewajarnya, mereka tidak melihat anak saya yang sudah kelihatan penat dan menangis. Saya sangat kecewa dengan layanan yang diberikan. Tambahan pula mereka tidak mengambil tindakan yang cepat untuk merawat anak saya yang sakit. Mereka memberikan nombor giliran yang lambat, sedangkan anak saya sakit dan perlukan rawatan segera. Sikap dan perkhidmatan yang diberikan sangat tidak memuaskan. Saya sungguh susah hati waktu itu, kerana jangka waktu mendapatkan rawatan yang panjang dan lambat. Perasaan panik dan marah mula menguasai saya. Tiba di bilik rawatan sekali lagi saya mendapat perkhidmatan yang tidak sepatutnya diberikan.
          Anak saya terus menangis dan berasa takut namun, pegawai yang bertugas tidak menghiraukan tangisan anak saya dan saya berasa hairan ada 2 oarang pembantunya yang berada di situ tidak prihatin untuk membantu saya menenangkan anak saya dan hanya berbuat demikian apabila diarahkan oleh doktor. Doktor mengatakan anak saya tidak demam, sedangkan badan anak saya panas waktu itu. Layanannya seperti tidak ada apa yang berlaku dan hanya memeriksa seringkas yang mungkin, sedangkan saya menunggu untuk mendapatkan perkhidmatannya sangat lama. Tiada penjelasan terhadap penyakit anak saya, walhal saya cuba memberitahu keadaan anak saya yang membimbangkan saya waktu itu. Doktor hanya memberi jawapan yang ringkas iaitu tidak ada apa-apa dan memberikan senarai ubat untuk diambil di farmasi. Tindakan yang lambat dan perkhidmatan yang tidak memuaskan membuatkan saya kecewa dan tertanya-tanya, inikah perkhidmatan terbaik yang mampu mereka berikan?.

Pengalaman Manis - Senario di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak.(SUK). TAHUN 1991

        Saya masih ingat lagi waktu itu saya baru berusia 16 tahun dan telah diberi tugasan untuk menemuramah seorang pegawai kerajaan di pejabatnya yang terletak di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak ,Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab. Beliau merupakan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak. Saya diarahkan bersama dengan rakan-rakan dari pelbagai sekolah dari seluruh negara. Kumpulan kami ditempatkan di SUK. Kami telah membuat temujanji terlebih dahulu memandangkan beliau seorang yang sangat sibuk.
           Pada tarikh yang dijanjikan saya dan rakan-rakan yang lain menyediakan beberapa soalan untuk diajukan kepada beliau. Pelbagai persepsi yang kami bayangkan terhadap beliau, kerana tidak mengenalinya sebelum ini. Kami menjangkakan beliau seorang pegawai yang sukar untuk didekati, namun jangkaan kami meleset. Beliau telah menyambut kami dengan wajah yang gembira dan memberi kerjasama yang memuaskan. Beliau menjawab segala soalan-soalan yang diajukan dan memberi kami pula nasihat yang berguna untuk masa depan kami sebagai seorang pelajar. Temubual kami berjalan lancar dalam suasana yang menggembirakan.
            Beliau telah memberikan kami ruang untuk bertukar-tukar pendapat dan kesempatan ini kami ambil untuk mendapatkan lebih banyak info daripada beliau selaku setiausaha kerajaan. Sikapnya yang mudah mesra dan tidak sombong membuatkan kami berasa selesa untuk berbual. Waktu yang diperuntukkan kepada kami agak lama tetapi disebabkan terleka dengan situasi yang agak ’menyeronokkan’ masa terasa begitu singkat. Di akhir perbualan, kami berbesar hati apabila beliau telah menyediakan sedikit juadah untuk kami sebelum kami berangkat pulang. Satu lagi senario yang tidak dapat dilupakan di tempat yang sama, dalam tidak sedar air seorang pelajar telah tertumpah di atas pakaiannya, semua pelajar terdiam dan waktu itu mereka ingat sudah tentu akan dimarahi, tetapi sebaliknya pegawai tersebut telah menenangkan keadaan dengan mempamerkan senyuman dan mengizinkan pelajar tersebut pergi ke tandas untuk membersihkan pakaiannya. Layanan yang diberikan sangat memuaskan hati dan membuatkan kami teruja untuk datang semula kembali pada satu hari nanti.

Catatan Pengembaraan ke Pulau Pinang


CATATAN PENGAMBARAAN- Bercuti ke Pulau Pinang

Setiap kali datang cuti sekolah, timbul dalam fikiran kemana hendak pergi untuk merehatkan diri. Setelah sepanjang tahun bekerja, tibalah waktu untuk merehatkan pemikiran dari tugasan rutin yang menghambat waktu. Penulis terpanggil untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai destinasi percutian kali ini. Seperti mana insan lain, apabila berbicara tentang percutian keluarga sudah tentu ada persiapan dan perancangan. Sebenarnya, perjalanan dari Ipoh dan Pulau Pinang bukanlah satu jarak yang jauh. Namun penulis hanya ingin pergi awal untuk menikmati perjalanan waktu malam dari sini. Pada jam 8.30 malam, saya dan keluarga menelusuri Lebuhraya Utara Selatan dengan pemanduan yang agak perlahan memandangkan cuaca hujan dan jalan yang agak licin.

Setelah sejam perjalanan, kami berhenti di Hentian Rehat Bukit Merah untuk berehat seketika, memandangkan hujan masih lagi turun dengan lebat. Kami mengambil kesempatan untuk tidur dan pergi ke bilik air kerana cuaca yang sejuk mengundang rasa mengantuk dan ingin ke tandas. Setelah hilang rasa mengantuk, perjalanan diteruskan hingga keluar melalui Tol Juru. Kami meneruskan perjalanan menghala ke Seberang Jaya kerana destinasi yang ingin kami lawati adalah di Penang Bird Park. Menurut penduduk di sini, tempat ini merupakan satu-satunya destinasi pelancongan yang terdapat di Seberang Jaya. Manakala destinasi pelancongan yang lain, terdapat di Pulau Pinang (di kawasan pulau). Sebelum menikmati keindahan Taman Burung, kami singgah di sebuah restoran yang dipanggil Restoran Makbul untuk mengisi perut yang kosong.
Kami tiba di Taman Burung jam 8.45 pagi. Dari kejauhan telah terdengar kicauan burung-burung dan bunyi unggas rimba. Suasana seperti di dalam rimba. Tidak sabar rasanya untuk masuk ke dalam, namun papan tanda di luar telah tertulis taman ini dibuka pada jam 9.00 pagi membuatkan kami terpaksa menunggu dengan sabar. Taman ini dibuka kepada umum setiap hari pada pukul 9.00 pagi hingga jam 7.00 malam dengan bayaran yang berbeza ketika hari biasa dan cuti sekolah. Bayaran untuk orang dewasa adalah RM10.00 dan kanak-kanak RM5.00 bagi hari biasa dan akan berbeza pada cuti sekolah; dewasa RM15.00 dan kanak-kanak RM10.00, Menurut pekerja di bahagian kaunter masuk, bayaran juga berbeza untuk pelancong tempatan dan luar. Bagi pelancong yang membawa kamera, bayaran RM 1.00 akan dikenakan untuk setiap kamera dan satu tag akan diikatkan pada kamera tersebut menandakan bayaran telah dijelaskan.

Kami diberitahu oleh pekerja di situ laluan masuk, tandas dan laluan keluar di taman ini. Melangkah masuk ke taman ini sudah disajikan dengan burung yang paling besar di Malaysia iaitu Emu atau Burung Kasawari. Saya dan suami mengabadikan gambar melalui lensa kamera yang dibawa. Burung Unta datang menghampiri kami seolah-olah tahu dan mengalu-alukan kehadiran kami. Semasa kami melangkah masuk, masih tidak ramai lagi pelancong yang datang. Ini memudahkan kami mengambil gambar-gambar di situ. Kami mengambil flyers di taman ini untuk mendapatkan maklumat. Menerusi maklumat yang diperolehi, taman ini merupakan Taman Burung Paling Besar di Malaysia dengan keluasan 5 ekar dan mempunyai bilangan spesis burung yang mencecah angka 300 spesis dari seluruh dunia.

Burung-burung yang ditempatkan di sini antaranya seperti, Hornbill, White-Bellied, Sea Eagle, Kuaw Lady Amherst(dari Tibet dan China), Tiong Dada Emas (dari Jepun dan Papua New Guinea), Burung Emu(dari Australia), Kuang Mexico (dari Mexico), Bayan Biru (dari Afrika, India, Sri Lanka), Kenari Matahari(dari Brazil), Nuri Pelangi(Australia dan Indonesia) dan banyak lagi., Selain itu, taman ini juga menempatkan beberapa spesis itik(Itik Mandarin), pelanduk, buaya tembaga, ular sawa batik dan kancil. Suasana pagi yang cerah dan agak dingin membuat kami leka menikmati keindahan burung dan bunyi-bunyian yang unik. Kami seronok melihat itik yang berenang-renang di dalam tasik buatan di taman ini.








Ketika leka melihat burung-burung yang berwarna-warni, sudah ada pengunjung yang hadir pada pagi ini. Jam pada waktu ini sudah menunjukkan pukul 10.00 pagi. Kami diberitahu ada pertunjukkan burung pada jam 11.30 pagi oleh pekerja terlatih di situ. Pertunjukkan ini hanya mengambil masa setengah jam sahaja. Kami turut diberi cenderahati oleh pihak taman atas kehadiran ke sini. Terdapat juga kedai cenderahati yang menjual pelbagai barangan seperti t shirt, pemegang kunci dan lain-lain untuk dibawa pulang. Setelah keluar dari Taman Burung kami melihat jam masih awal dan bercadang untuk pergi ke destinasi yang lain.
Seterusnya, kami menuju ke Batu Feringgi, satu tempat yang terkenal dengan deretan pantai yang panjang dan keindahan pemandangan yang cantik serta lautan yang luas. Ramai penduduk tempatan yang mengambil kesempatan di cuti sekolah, membawa keluarga bercuti ke sini. Pelancong asing juga tidak melepaskan peluang untuk bercuti dan menikmati suasana indah di Pulau Pinang. Sepanjang perjalanan, pemandangan yang kami lihat adalah bukit bukau dan kehijauan hutan yang sungguh mendamaikan. Banyak hotel yang tinggi-tinggi didirikan di sini. Saya berasa sangat kagum dan terpegun dengan deretan hotel yang di bina di sepanjang tanah tinggi dan lereng bukit yang begitu kukuh pembinaannya. Di sepanjang pantai di Batu Feringgi, terdapat perkhidmatan sewa jet ski dan bot laju yang menawarkan harga berpatutan. Seperti ada pesta, ramai penduduk tempatan yang mengambil kesempatan menjaja barang makanan di sepanjang jalan. Kami juga turut singgah menikmati makanan dalam suasana yang nyaman di tepi pantai.


Setelah puas berada di tepi pantai, kami bergerak ke Masjid Terapung Pulau Pinang untuk solat dan menikmati pemandangan di situ yang tidak kurang juga hebatnya. Setelah hari beransur petang kami bergerak pula ke Padang Kota Lama. Padang Kota Lama atau Fort Cornwallis merupakan sebuah kota yang digunakan oleh Portugis untuk menentang musuhnya. Tempat tinggalan sejarah ini turut dijadikan produk pelancongan negeri Pulau Pinang. Jika pergi ke sini tidak sah jika tidak menjamah Rojak Pasembor dan jeruk yang enak. Ini merupakan makanan yang sangat terkenal di Padang Kota Lama. Pelbagai jenis jeruk dan aneka juadah yang tersedia untuk dibeli oleh pengunjung. Ianya dijual di sepanjang jalan Kota Lama. Saya juga teruja melihat pelancong luar yang sanggup berpanas memancing di tepi laut. Mungkin bagi mereka memancing adalah hobi yang tidak boleh dipisahkan waktu bercuti. Dari jauh dapat dilihat pelabuhan Pulau Pinang yang sibuk dengan deretan kapal-kapal besar dan bot. Kami turut mengabadikan gambar tersebut di kamera.










Setelah petang, kami pulang dengan menggunakan jambatan Pulau Pinang. Pemandangan di sini juga sangat cantik. Jarak 15km di atas jambatan dirasakan sangat cepat dan kami sudah berada di Seberang Jaya untuk pulang ke Ipoh. Perjalanan berjalan lancar dan cuaca yang cerah memudahkan agenda kami. Alhamdulillah kami bersyukur kepada Allah S.W.T kerana telah memelihara dan memudahkan perjalanan ini. Perjalanan ini telah sampai ke destinasinya (pulang), namun kami berasa sangat seronok kerana dapat meluangkan masa berharga bersama-sama keluarga.

Komen Atau Ulasan


Komen Atau Ulasan - Baucer Buku 1 Malaysia.

           Bantuan baucer buku 1Malaysia merupakan pemberian dari kerajaan yang telah dilancarkan pada tahun 2012 sempena Bajet 2012. Kini telah berlanjutan kali kedua mengikut Bajet 2013. Menerusi peruntukan tersebut kerajaan telah mengagihkan bantuan kepada para pelajar sebanyak RM250.00 setiap seorang bermula pelajar Tingkatan 6 hingga ke pelajar universiti di seluruh Malaysia. Kenaikan sebanyak RM50.00 dari tahun sebelumnya. Keprihatinan kerajaan dalam menyediakan peruntukan tersebut seperti 'bulan jatuh ke riba' untuk para pelajar seperti penulis. Kejayaan pengagihan pendapatan rakyat untuk rakyat menjelaskan kepada kita bahawa kerajaan tidak melupakan rakyat dalam apa jua agendanya.

        Penulis sangat bersyukur kepada Allah S.W.T dan berterima kasih kepada kerajaan menerusi Kementerian Pengajian Tinggi yang melaksanakan program ini. Penulis rasa gembira kerana dapat menikmati kali kedua berikutan masih belajar untuk tahun akhir program Ijazah Komunikasi (PJJ UPM). Peluang ini dapat digunakan untuk membeli buku dan peralatan akademik yang diperlukan.Walaupun ada sesetengah pihak yang telah mengambil kesempatan terhadap sumbangan yang diberikan, seperti menawarkan penukaran baucer tersebut dari pelajar dengan nilai yang kurang dari sepatutnya. Misalnya RM200.00 tetapi ditukarkan dengan nilai RM180.00.(kurang RM20.00). Jika seorang pelajar sahaja boleh diraih RM20.00 bayangkan kalau sepuluh orang pelajar. Betapa untungnya mereka. Membuat duit dengan sekelip mata sahaja. Sikap individu yang tidak bertanggungjawab ini perlu dilihat sebagai satu platform kepada perkara yang negatif. Mungkin pelajar tidak menyedari yang mereka sebenarnya telah diperdaya oleh golongan seperti ini.

          Sikap pelajar yang mengambil jalan mudah untuk mendapatkan wang tunai sangat mendukacitakan. Kenapa perlu berbuat demikian, sedangkan baucer yang diberi perlu digunakan dengan sebaik mungkin, bukannya ditukar dengan sesuka hati. Kadangkala jika difikirkan kenapa nak rugi daripada untung?. Mungkin mereka rasa setakat duit RM200.00 atau RM250.00 satu nilai yang sedikit, tetapi cuba kita lihat kepada golongan yang tidak bernasib baik. Pastinya nilai ini sangat bermakna kerana mereka dapat mengurangkan beban ibu dan ayah mereka. Sudah tentu mereka berasa gembira kerana dapat membeli buku dan alatan yang sebelum ini sukar untuk dibeli. Sanggupkah kita melihat sumbangan ini ditarik balik oleh kerajaan. Bagaimanakah harapan golongan yang kurang bernasib baik?.

      Penulis pasti kerajaan sedang melihat kejayaan sumbangan yang diberikan, dimanfaatkan atau sebaliknya. Penulis percaya individu yang menukar baucer terbabit bertindak demikian kerana ada tawaran yang menarik dari luar. Pembelian telefon pintar dan aksesori yang canggih merupakan agenda utama untuk menukar baucer terbabit. Tanpa rasa bersalah sanggup rugi sedikit untuk mendapatkan tunai demi membeli barangan yang tidak sepatutnya.Terpulang kepada mereka kerana baucer ini diberikan kepada pelajar yang berada pada tahap matang (18 tahun ke atas) yang boleh berfikir dengan bijak bukan murid sekolah rendah yang baharu mengenal a,b,c.

           Sejak wujudnya pemberian baucer ini, ramai pelajar tidak senang duduk untuk menggunakan baucer yang akan diberikan kali kedua. Pelbagai perancangan telah diatur untuk membeli barang-barang yang diinginkan nanti. Pada pendapat penulis baucer ini perlu diperketatkan supaya tidak boleh ditukarkan dengan sewenang-wenangnya. Pemberian baucer ini sepatutnya digunakan dengan sebaik mungkin agar menepati matlamat kerajaan yang sanggup meluluskan peruntukan di kabinet. Sumbangan ini perlu diberi bukan sekadar melepaskan batuk di tangga. Perlu ada signifikan dalam menterjemahkan sumbangan ini agar dapat digunakan mengikut tujuan asal. Pemantauan perlu dilaksanakan terhadap proses pemberian sumbangan ini kepada pelajar agar mereka menggunakan baucer tersebut dengan betul.

          Penulis berpendapat tindakan tegas seperti menarik balik pemberian baucer buku tersebut dari pelajar yang menyalahgunakan pemberian ini, pada masa yang akan datang. Pelajar terbabit akan disenaraihitamkan dan tidak layak untuk diberikan bantuan. Tindakan kepada pekedai yang bersekongkol dengan pelajar terbabit pula perlu dibatalkan sebagai pembekal buku yang dilantik oleh kerajaan. Penulis mencadangkan agar pemberian ini benar-benar mencapai matlamat, satu ketetapan perlu dibuat iaitu dengan meletakkan syarat-syarat seperti bil pembelian buku hendaklah diserahkan kepada pihak sekolah atau universiti sebagai bukti penukaran.

         Pihak berkuasa juga telah mendapat beberapa laporan berhubung isu ini.Ketua Polis Daerah Putrajaya, Assisten Komisioner Abdul Razak Abdul Majid, telah memaklumkan terdapat laporan daripada Pegawai Kanan Kementerian Pengajian Tinggi berhubung isu ini. Menurut Ketua Polis Daerah Putrajaya, pihaknya akan mengambil tindakan undang-undang di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan atas kesalahan menyalahgunakan harta dengan curang. Pelajar IPT awam dan swasta yang menjual dan melelong Baucer Buku 1Malaysia termasuk di laman web boleh dikenakan penjara tidak lebih 5 tahun termasuk denda dan sebatan.

         Pada pendapat penulis wajar atau tidak tindakan pihak berkuasa terhadap isu ini tidak penting, sebaliknya penulis berasa bersimpati dengan para pelajar kita yang tidak bersyukur dengan anugerah yang diberikan. Pemberian dalam bentuk baucer ini sangat baik untuk semua pelajar. Tetapi disebabkan 'nila setitik, rosak susu sebelanga' yang mengambarkan hanya segelintir individu yang bersikap sedemikian, namun merosakkan nilai dan identiti pelajar lain yang tidak melakukannya.Oleh itu, penulis berharap tindakan yang diambil oleh pihak berkuasa ini dapat dijadikan ikhtibar kepada semua agar menyedari hakikat diri tentang amanah yang diberi, jangan sampai tindakan memakan diri.











Jumaat, 23 November 2012

Rencana Pakaian Tradisional Melayu

1.0 PENGENALAN

         Pada zaman yang serba moden dan membangun ini, pelbagai jenis dan reka bentuk pakaian telah terhasil dengan begitu menarik dan elegan sesuai dengan keperluan si pemakainya. Namun dalam kepesatan industri tekstil di negara ini pakaian tradisional yang ’evergreen’ tidak diketepikan dan telah diadaptasikan dengan memasukkan elemen-elemen yang baru sesuai dengan citarasa moden. Pakaian tradisional tidak dilihat sebagai sesuatu yang ketinggalan zaman malah menunjukkan identiti sesuatu bangsa atau kaum. Di Malaysia kita mempunyai pelbagai kaum yang majoritinya terbahagi kepada 3 rumpun yang besar iaitu Melayu, Cina dan India. Setiap kaum ini mempunyai adat resam, budaya dan pakaian tradisi yang tersendiri. ’Tak lapuk dek hujan dan tak lekang dek panas’ menjadi simpulan bahasa yang sesuai dengan kegemilangan pakaian tradisional ini khususnya di Malaysia.
Jika kita susuri sejarah peradaban Kerajaan Kesultanan Melayu Lama, pakaian merupakan elemen penting untuk menunjukkan status si pemakainya. Pakaian yang ditenun dengan emas dan berwarna kuning hanya dipakai oleh golongan istana khususnya keluarga di Raja. Sementara golongan rakyat memakai busana yang biasa sahaja. Ini disebabkan ketidakmampuan memiliki pakaian tersebut atau ekonomi yang terhad. Begitu juga jika dilihat dalam tatasusila kerajaan China dan India yang menetapkan pemakaian yang berbeza antara raja, golongan pentadbiran dan rakyat. Ini menunjukkan kepada kita pakaian dapat menentukan ciri-ciri budaya dan status sesuatu bangsa. Namun pada hari ini fenomena itu telah mengalami transformasi yang besar. Semua golongan mampu memilikinya walaupun pada harga yang lebih mahal. Kedudukan dan status bukan satu penghalang untuk memiliki pakaian yang dihajati.

1.1 OBJEKTIF
          Penulis melakukan kajian ini untuk melihat kepelbagaian pakaian tradisional yang telah terhimpun begitu lama sejak berabad dulu. Dengan mengenalpasti pakaian-pakaian ini kita dapat mengetahui identiti sesuatu kaum yang terakam kemas pada kesenian busana tersebut. Apatah lagi kewujudan pakaian tradisi ini telah merakamkan pelbagai keunikan terhadap kemampuan penghasilnya untuk menghasilkan busana yang klasik ini.
            Pakaian Tradisional Melayu kaya dengan motif bunga, daun dan alam, seperti Baju Kurung Teluk Belanga dan Baju Kurung Johor yang menunjukkan keunikan tersendiri. Manakala Pakaian Tradisi Cina kaya dengan elemen warna merah dan oren yang melambangkan tuah dan kekayaan. Begitu juga dengan Pakaian Tradisi India yang mementingkan elemen warna putih dan merah terang untuk melambangkan identiti agamanya yang suci dan berani.
              Kesemua adat resam dan pemakaian pakaian tradisional ini terangkum dalam skop peradaban yang unik dan gemilang. Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk mengenalpasti identiti kita dan juga identiti bangsa lain supaya kita dapat mengekalkannya untuk manfaat generasi yang akan datang. Semoga kita dapat hidup dengan aman dan harmoni di dalam sebuah negara yang maju, seperti kata Perdana Menteri Malaysia iaitu ’’1 Malaysia’’.

1.2 RUANG LINGKUP TUGASAN
         Kajian ini dilakukan dalam ruang lingkup yang lebih khusus iaitu berfokus kepada ’’Pakaian Tradisional Masyarakat Melayu’’. Kajian ini meliputi pelbagai jenis pakaian Melayu, sejarahnya (asal-usul contohnya dari negeri mana), ciri-ciri yang ada pada pakaian tersebut dan proses menghasilkannya. Kajian ini dijalankan, ekoran keperluan untuk mengkaji identiti bangsa sendiri adalah penting sebelum mengenalpasti identiti bangsa lain. Kebudayaan dan adat resam bangsa Melayu lebih luas jika dikaji mengikut rentetan sejarahnya yang berabad lama. Sejarah pakaian tradisi Melayu ini telah tersimpan dalam lipatan memori setiap individu. Ini kerana pemakaian pakaian tradisi ini tidak terhenti pada sesuatu abad atau tahun sahaja. Ianya merupakan proses kesinambungan dari satu abad ke satu abad yang lain hingga sekarang. Namun yang pastinya pemakaian pakaian tradisi merupakan satu elemen yang wajib khususnya bagi kaum Melayu dalam pelbagai acara formal dan tidak formal.

1.3 DEFINISI KONSEP
            Konsep Pakaian Tradisional Masyarakat Melayu boleh diklasifikasikan seperti berikut: Menurut Kamus Dewan Pelajar Edisi Kedua Pakaian membawa makna apa-apa sahaja yang dipakai di badan seperti baju dan seluar. Manakala Tradisional bermaksud bersifat atau bercorak tradisi; dan Masyarakat merangkumi umat manusia, kelompok manusia, komuniti, bangsa, kaum, suku, puak, kumpulan etnik, ras, orang ramai, khalayak ramai, penduduk dan mujtamak. Konsep Melayu pula adalah nama asal bangsa yang mendiami seluruh daerah Nusantara di Asia Tenggara serta bahasanya, atau dikenali sebagai nama suku bangsa terutama di Tanah Melayu. Jadi Konsep Pakaian Tradisi Masyarakat Melayu merangkumi apa-apa sahaja yang dipakai oleh bangsa atau kaum yang berasal dari suku bangsa dari Tanah Melayu dan bersifat tradisi.

2.0 BAJU KURUNG TELUK BELANGA

               Baju Melayu yang biasa di pakai di Malaysia dan negara serantau biasanya terbahagi kepada dua, iaitu baju Melayu potongan Teluk Belanga dan potongan Cekak Musang. Baju Melayu Teluk Belanga biasanya lebih terkenal di selatan Malaysia sementara potongan Cekak Musang di kawasan tengah dan utara Malaysia. Potongan tersebut merujuk kepada cara jahitan pada leher baju tersebut. Terdapat berbagai bentuk sulaman yang dipadankan seperti Mata Lalat, Tulang Belut dan sebagainya.
2.1 SEJARAHNYA
             Baju kurung ini telah digunakan oleh lelaki dan perempuan sejak 100 tahun dahulu. Telah diberi nama sedemikian oleh Almarhum Sultan Abu Bakar iaitu Sultan Johor sempena baginda bersemayam di Teluk Belanga. Baju ini juga dikenali sebagai Baju Johor. Justeru itu, hingga ke hari ini baju tersebut dikenali sebagai Baju Johor atau Baju Kurung Teluk Belanga. Baju ini mula di perkenalkan di Teluk Belanga, Singapura dan tersebar luas sebagai ciri khas Johor khususnya pada abad ke-19. Ia juga dikatakan sejenis pakaian lelaki yang dikatakan direka oleh Sultan Abu Bakar pada tahun 1866 untuk meraikan perpindahan ibu negeri Johor dari Teluk Belanga di Singapura ke Johor Bahru. Walau bagaimanapun istilah ini akhirnya menjadi ciri khas masyarakat Melayu hingga disebut selengkapnya ‘Baju Melayu’.
2.2 CIRI-CIRINYA
            Baju ini merupakan baju yang longgar dan selesa dipakai oleh golongan dewasa. Pada zaman pemerintahan Sultan Abu Bakar, baju ini telah dihasilkan dalam bentuk yang longgar dan agak labuh hingga ke tengah betis. Selain itu, ia mempunyai pesak yang kembang di kiri dan kanan badan. Penggunaan kekek gantung di bahagian ketiak dengan lengan baju yang longgar dan lebar anggaran sejengkal. Berdasarkan ciri-ciri baju ini ia mementingkan keselesaan si pemakainya. Baju Melayu dijahit dalam dua cara iaitu berpesak atau potongan moden atau dipanggil potongan Cina. Di mana lengan baju tersebut disambungkan kepada badan baju. Iaitu secara di sambung terus atau di jahitkan kebahagian lain yang dinamakan pesak dan kekek.
2.3 CARA PEMBUATANNYA
           Cara pembuatannya dengan menyambungkan pesak, kekek dan lengan baju dengan badan baju menggunakan mesin jahitan. Kemudian ianya dikelim dan dijahit sembat pula menggunakan tangan secara manual tetapi dengan jahitan yang halus. Tepi lengan dan kaki baju dilipat dan dijahit sembat juga secara manual. Leher Baju Kurung Teluk Belanga dibuat bulat seperti bulan ( ia dipanggil bulan-bulan) dan dibelah menurun di bahagian depan. Tepi lubang leher dijahit menggunakan sulaman halus yang diberi nama ’’Tulang Belut’’. Leher baju dibuat sedemikian untuk menguatkan jahitan agar tidak mudah koyak dan kelihatan lebih menarik. 
           Pada leher baju pula, dikenakan sebutir kancing berlengkang. Kancing ini biasanya berbentuk bulat dan diperbuat dari emas atau perak dan bertatahkan permata. Seterusnya, di bahagian sebelah kiri baju ini di bahagian pinggang atau rusuk baju disediakan poket kecil. Kegunaannya untuk menyimpan sapu tangan kecil atau barangan yang halus sahaja. Pada kebiasaannya, baju kurung ini dipakai dengan kain sarung yang diikat berombak-ombak di rusuk sebelah kiri atau kanan yang juga dikenali sebagai ’’ombak mengalun’’. Manakala kepala kain diletak di sebelah belakang. Cara memakai baju juga terdapat perbezaan dimana bagi baju Melayu Teluk Belanga biasanya sampin dipakai diluar baju. Inilah kesenian yang kekal dan masih digunakan hingga sekarang. Namun perubahan zaman telah merubah sedikit bentuk klasikal yang terdapat pada pakaian ini.

3.0 BAJU CEKAK MUSANG


3.1 SEJARAHNYA
    Baju Melayu merupakan pakaian lelaki Melayu dan ia terdiri dari dua jenis iaitu Baju Kurung Teluk Belanga ataupun Baju Cekak Musang. Baju ini biasanya dipakai semasa menghadiri majlis-majlis perkahwinan, kenduri-kendara dan juga bagi menunaikan Sembahyang Jumaat. Selain itu ia juga amat sesuai dipakai pada Hari Raya dan juga majlis-majlis rasmi. Pemakai Baju Melayu kelihatan lebih berseri apabila ia mengenakan samping dan songket. Pada acara-acara biasa seperti kenduri-kendara dan Sembahyang Jumaat, ia dipakai bersama kain pelekat atau kain tenun sutera.
3.2 CIRI-CIRINYA
              Istilah ini berhubung langsung dengan pola lingkaran leher baju, tengkuk ‘cekak’ tinggi atau leher tegak empang leher. Pengertian ‘cekak musang’ merakamkan imej alami untuk leher baju yang bercekak tinggi berdiri (2.5cm) melingkari leher. Ukuran ditentukan oleh lingkaran (bulat) yang dibuat dengan ibu jari lain yang bertemu hujungnya. Cekak Musang berbentuk seperti leher baju India hanya bahagian penutup atau rumah butangnya bertindan. Baju ini mula dipakai di Johor ketika pemerintahan Sultan Ibrahim Ibni Sultan Abu Bakar, baju Melayu Cekak Musang baju di dalam sampin.
             Baju Kurung Cekak Musang adalah sama dengan Baju Kurung Teluk Belanga kecuali pada bahagian lehernya. Leher baju kurung cekak musang ada kolar. Kolar tersebut hanya selebar satu jari dan kedudukannya menegak. Pada bahagian hadapan kolar ada bukaan panjang yang berkancing. Biasanya ada satu kancing pada kolar dan dua atau tiga lagi kancing pada bukaannya. Butang emas atau emas berbatu permata digunakan sebagai pengancingnya. Kancing yang paling terkenal ialah kancing emas yang dipanggil garam sebuku dan kancing berbatu permata yang dikenali sebagai kunang-kunang sekebun.

4.0 BAJU KEBAYA PANJANG

4.1 CIRI-CIRINYA

Walaupun wanita Johor terkenal dengan baju kurung, tetapi dalam acara majlis, mereka muncul juga dengan memakai kebaya, sebagai warisan daripada Kerajaan Johor-Riau. Pola baju belah panjang ini masih bersifat ‘mengurungkan’ anggota badan. Secara tradisi potongannya labuh sehingga buku lali. Cuma bezanya ia berbelah dan berpesak di hadapan baju ini, umumnya dipakai sebagai pakaian di luar rumah atau upacara rasmi. Baju belah panjang ini terkenal di Melaka, Perak, Selangor dan Kedah-Perlis. Baju kurung belah ini kemudiannya dikenali sebagai ‘baju panjang’ dan ‘kebaya panjang’. Tradisi ini berkembang menjadi kebaya dan bertangan panjang berpesak lurus di hadapan, berkekek dan berbelah dada yang ditutup dengan kancing atau kerongsang tiga.
  Baju kebaya dipakai oleh wanita Melayu. Ada dua teori tentang asal baju kebaya. Satu mengatakan perkataan 'kebaya' itu berasal daripada perkataan Arab habaya yang bermaksud pakaian labuh yang berbelah di hadapan. Satu lagi mengatakan pakaian seumpama ini dibawa oleh Portugis ke Melaka, maka sebab itulah kebaya telah lama dipakai di Melaka; bukan sahaja oleh wanita Melayu tetapi juga oleh wanita Cina Peranakan (Baba) dengan sedikit perbezaan dalam potongan dan gaya memakainya.

5.0 BAJU KEBAYA LABUH
5.1 CIRI-CIRINYA
             Baju kebaya yang asal direka labuh hingga ke paras lutut ataupun lebih. Tangannya panjang dan lebar. Bahagian badannya mengikut potongan badan dan melebar ke bawah bermula dari bahagian punggung. Bahagian hadapannya pula berbelah dan berkolar sampai ke kaki baju. Bahagian yang berbelah ini disemat dengan tiga kerongsang berasingan atau yang berangkai dengan rantai halus. Kerongsang ini dikenali sebagai ibu dan anak kerongsang. Kerongsang yang besar dan di atas sekali dipanggil ibu dan dua lagi yang kecil dan dipakai bawah kerongsang ibu dipanggil anak. 
              Kebaya ada pelbagai gaya. Contohnya di Selangor, kebayanya tidak berkolar. Di Perak pula lengan kebayanya sangat lebar berbanding dengan kebaya di negeri-negeri yang lain. Di Pahang pula, baju kebayanya yang dikenali sebagai baju Riau Pahang mempunyai leher berkolar dan berkancing seperti baju kurung cekak musang tetapi bahagian hadapannya juga berbelah seperti baju kebaya yang lain; malah turut dipasangkan kerongsang di bawah kancingnya yang berbutang itu. Baju kebaya sesuai untuk pakaian harian dan juga pakaian pengantin. Bagi pakaian harian, baju kebaya sesuai diperbuat daripada kain kapas dan baldu atau sutera (bagi yang berada) dan dipadankan dengan kain sarung. Selendang hanya dikenakan apabila keluar rumah. Bagi pengantin pula, baju kebayanya diperbuat daripada songket dan sepasang dengan kain sarungnya. Selendangnya juga diperbuat daripada songket.

6.0 BAJU KURUNG


6.1 SEJARAHNYA
              Baju kurung dianggap popular dan dipakai oleh lelaki dan perempuan. Perbezaannya terletak pada bahagian kocek iaitu lelaki mempunyai tiga kocek manakala perempuan mempunyai satu kocek serta perbezaan daripada segi pemakaian. Pengertian kurung secara tidak langsung telah membawa erti ‘mengurung atau menutup’ anggota tubuh. Cara ini menepati konsep pakaian cara Melayu setelah kedatangan Islam sehinggalah istilah ‘kurung’ diertikan sebagai baju yang selesa dan longgar, labuh atau panjang. Sehingga disebut dengan berbagai-bagai nama misalnya ‘baju kurung bernyawa’ walaupun mempunyai pelbagai nama namun baju kurung telah menampilkan ciri-ciri yang tersendiri.

6.2 CIRI-CIRINYA   
             Baju yang dipakai oleh lelaki labuhnya adalah separas punggung, alas lehernya lebar dan mempunyai tiga kocek iaitu di dada kiri, di dada kanan dan di bahagian bawah hadapan baju, manakala baju kurung yang dipakai oleh kaum wanita pula labuhnya hingga ke lutut dengan satu kocek di dada kiri atau pun tanpa kocek. Kaum lelaki memakai baju ini dengan seluar panjang samada seluar Acheh atau Seluar Panjut. Kaum wanita pula memadankannya bersama kain samada kain dari jenis batik, songket atau sutera. Kain ini pula diikat dengan ikatan yang bernama ombak mengalun, iaitu dengan lipatan-lipatan yang letaknya di rusuk kanan atau kiri. Kepala kain sarung lazimnya diletakkan ke belakang apabila dipakai dengan baju kurung ini.
             Pada masa dahulu, wanita Johor memadankan baju kurung dengan kain dagang luar, iaitu sehelai kain sarung yang pada asalnya digunakan sebagai kain kelubung untuk menudung kepala dan berlindung dari cahaya matahari apabila keluar berjalan. Kain dagang luar ini dikenakan di pinggang seperti kain samping lelaki dengan ombak-ombaknya di bawa ke rusuk kiri dan disaukkan pada lengan atau dipegang dengan tangan. Kain mantul, iaitu sehelai selendang pendek yang bertekat dengan kelingkan emas biasanya akan disangkutkan ke bahu apabila si pemakai mengenakan baju kurung dengan kain dagang luar ini. Walaubagaimanapun, baju kurung pada hari ini tidak lagi dipakai dengan kain-kain tradisional sebegini yang lazimnya hanya digunakan oleh masyarakat Melayu zaman dahulu.
7.0 BAJU KURUNG KEDAH
7.1 SEJARAHNYA
                   Baju kurung Kedah dipercayai berasal dari selatan Thailand di mana wanitanya kini memakai baju berleher potongan bujur sireh. Ianya dikenakan bersahaja, ketika bekerja di rumah sebagai pakaian harian. Baju kurung Kedah selalunya diperbuat daripada kain kapas yang berbunga kecil ataupun kain nipis yang jarang dan keras. Baju ini dipadankan dengan kain batik sarung atau pelikat yang diikat ke depan dengan motif kepalanya di hadapan.
 8.0 PAKAIAN BATIK
                 Pakaian batik Malaysia adalah kehalusan seni rekaan yang mempamerkan kreativiti ketinggian seni kebudayaan Malaysia khususnya masyarakat Melayu. Pembuatan pakaian ini secara luasnya terdapat di negeri Kelantan dan Terengganu. Pembuatannya yang rumit membuatkan harganya sedikit mahal berbanding dengan baju-baju tradisi yang lain. Pemakaian baju batik telah banyak diketengahkan dalam acara rasmi seperti perasmian sesuatu majlis dan pelbagai majlis bukan rasmi. Dewasa ini, kerajaan telah mewajibkan pemakaian baju batik di setiap jabatan kerajaan pada setiap hari Khamis untuk memberi sokongan terhadap industri batik. Ini menunjukkan baju batik telah menjadi sebahagian baju tradisi yang terus diwarisi.

8.1 SEJARAHNYA
                                      Sejarah pemakaian batik di Malaysia telah bermula sejak abad ke-15, batik telah banyak menerima pengaruh secara langsung dari daerah-daerah lain di Kepulauan Melayu seperti Pulau Jawa. Sejarah telah mencatatkan bahawa Indonesia adalah pembuat batik yang utama sejak abad ke12. Ini diikuti oleh Malaysia. Pemakaian baju batik amat sinonim dengan wanita yang dikaitkan dengan sikap seorang wanita yang lemah lembut dan bersopan santun. Ini dibuktikan oleh sejarah di mana batik telah dipakai oleh golongan wanita sejak 200 tahun yang lalu. Dalam masyarakat Malaysia, pemakaian batik telah meluas digunakan sebagai kain sarung, baju kemeja dan baju kurung.

                       8.2 CIRI-CIRINYA
Baju batik mengadaptasikan pelbagai jenis batik antaranya Batik Lukis dan Batik Cap. Batik Lukis mempunyai corak yang menarik dan unik. Ia dihasilkan mengikut kreativiti dan kemahiran pelukis. Warna yang selalu dihasilkan adalah warna putih dan hitam. Batik Cap lebih seragam. Coraknya berulang-ulang dan corak yang selalu kita lihat ialah pada kain sarung. Kain sarung amat popular di kalangan wanita –wanita Melayu. Batik sarung ini di pakai sebagai pakaian seharian atau kain basahan. Biasanya kain ini hanya dijahit di bahagian tepi kain untuk menyambungkan kedua-dua bahagian. Batik lepas pula adalah lebih panjang dan tidak perlu dijahit apabila hendak dipakai. Batik lepas juga digunakan oleh si ibu untuk menggendong anak apabila keluar bekerja di sawah.
Corak batik lepas tiada berkepala dan warnanya juga senada. Kain batik lepas dipakai oleh wanita ketika menghadiri majlis-majlis rasmi yang dipadankan dengan kebaya. Terdapat pelbagai corak tradisional Melayu yang sering dilakar pada batik ialah bunga, seperti Bunga Pecah Lapan, Bunga Berbaling, Tampuk Manggis, Sula Bakung, Daun Keladi dan sebagainya.

8.3 CARA-CARA PEMBUATANNYA
Bahan-bahan utama yang digunakan untuk menghasilkan batik ialah kain, lilin, canting, blok untuk mengecap, pewarna, kanji dan soda. Penyediaan perlu dilakukan sebelum membuat batik antaranya meja yang tinggi separas pinggang. Meja ini dialas dengan kelopak batang pisang yang berupaya menyerap lilin yang dicetak pada permukaan kain. Kemudian sebuah kuali yang berisi lilin cair diletakkan berhampiran pelukis. Sebuah kuali lagi disediakan untuk mendidihkan air bagi proses menanggalkan lilin.
Proses seterusnya ialah mencanting, kain yang direntang akan dicorakkan menggunakan canting. Proses mencanting adalah sebagai melakar semula dengan cecair lilin bagi memudahkan proses mewarna. Seterusnya proses mewarna, corak-corak yang dilakar akan diwarnakan dengan menggunakan cat air, kemudian dikeringkan di dalam bilik khas selama satu hari. Selepas kering, kain akan dimatikan warnanya dengan direndam di dalam larutan sodium silicat selama 6-12 jam. Kemudian kain direbus dengan larutan soda untuk menghilangkan lilin. Akhir sekali kain dicuci dengan air bersih dan dikeringkan di bawah cahaya matahari.

9.0 CELANA
             Pada masa dahulu, lelaki golongan istana dan golongan berada memakai seluar yang besar dan longgar yang dikenali sebagai kain seluar, seluar Aceh atau seluar Lambok. Kain seluar ada yang pendek dan ada yang panjang. Kain seluar yang pendek hanya separas lutut dan biasanya dipakai untuk bersantai di rumah. Kain seluar yang panjang pula adalah separas betis dan digunakan ketika keluar rumah atau ke majlis rasmi. Kaki dan pinggang kain seluar sangat lebar. Kain seluar terdiri daripada lapan bahagian yang dicantumkan. Empat bahagian yang di tengah berfungsi sebagai kekek supaya selesa dipakai. Kain seluar dipakai seperti memakai samping; melipat ke hadapan (box-pleat) dan menggulungnya atau mengikatnya dengan tali pinggang. 
                Kain seluar dilengkapi dengan satu poket. Poket dibuat pada bahagian hadapan sebelah kiri seluar (bukan pada kekeknya). Kain seluar diperbuat daripada sutera yang berwarna-warni dari kain songket emas atau perak. Bahagian yang paling banyak bunga songketnya ialah bahagian hujung kaki dan bukaan poket. Satu lagi seluar yang kerap dipakai ialah seluar panjang atau seluar panjut. Seluar panjang juga lebar bahagian pinggangnya. Pada kelepet pinggang seluar panjang ada lubang kecil bagi memasukkan pita atau tali pinggang yang digunakan untuk memanjut seluar ini. Seluar panjang terdiri daripada empat bahagian sahaja kerana seluar panjang tidak berkekek seperti kain seluar. Kaki seluar panjang menirus ke bawah. Pada bahagian sisi kaki seluar panjang ada bukaan yang dipasangkan butang. Biasanya lima atau enam butang digunakan. Panjang seluar ini mencecah buku lali.

10.0 KAIN SARUNG
                Kain sarung Melayu terdiri daripada sebidang kain lebar yang dicantumkan kedua-dua hujungnya. Kain sarung diperbuat daripada benang kapas dan sutera. Ada juga kain sarung yang diperbuat daripada tenunan songket. Biasanya kain sarung songket hanya dipakai apabila ada majlis rasmi atau sebagai pakaian pengantin. Kaum lelaki memakai kain sarung dengan baju Melayu. Kain sarung dilipat ke hadapan (dari sisi kiri dan kanan; box-pleat) dan digulung. Kaki kain dilepaskan hingga ke buku lali, Jika kain sarung dipakai bersama-sama seluar, kaki kain sarung disingkatkan hingga ke paras lutut dan menjadi samping. Kaum wanita memakai sarung bersama-sama baju kurung atau baju kebaya. Kain sarung diikat atau dililit di pinggang. Kaum wanita mengikat sarung dengan pelbagai cara. Iaitu dengan cara membuat satu lipatan yang ditindan ke hadapan badan, atau dengan lipatan-lipatan kecil yang dikumpulkan pada salah satu sisi badan; dikenali sebagai ombak mengalun. Untuk mengemaskan atau memastikan kain sarung tidak terlucut, tali pinggang atau pita kain digunakan untuk mengikatnya.
Kepala kain atau bahagian yang pada kain itu dihalakan ke belakang. Ada dua sebab mengapa kain itu dipakai di belakang, pertama, untuk memastikan bahagian itu terserlah; tidak termasuk ke lipatan kain (pada bahagian depan) dan kedua, supaya kelihatan sopan apabila membelakangkan orang di mana kepala kain yang cantik itu menjadi tarikan kepada orang yang membelakangkan. Kaum wanita juga memakai sehelai lagi kain sarung di atas bajunya. Kain sarung ini dipakai dengan tiga cara. Cara pentama dipanggil dagang luar. Dalam cara ini, kain sarung dikumpul di sisi badan dan disauk dengan tangan. Kepala kain dihalakan ke belakang. Cara yang kedua dipanggil kain tudung. Dalam cara ini, kain sarung dipakai menyelubungi kepala. Tujuannya ialah untuk melindungi si pemakai daripada cuaca panas. Kepala kain diletakkan di atas kepala. Cara yang ketiga pula dipanggil kain selempang. Dalam cara ini, kain sarung dikedut menjadi gelungan dan diselempangkan di bahu. Kepala kain diletakkan di hadapan badan.
11.0 SAMPING
               Samping mirip seperti kain sarung, bezanya cuma samping lebih pendek daripada kain sarung. Samping dipakai oleh kaum lelaki Melayu bersama-sama baju Melayu dan seluar panjang. Samping diikat di pinggang di sebelah luar, di atas baju dan seluar. Bahagian kaki samping dilepas hingga ke lutut atau betis. Samping dipakai dengan cara melipat sisi kiri dan sisi kanannya supaya bertindan di tengah-tengah di hadapan badan (box-pleat). Kemudian bahagian yang bertindan itu digulung atau dikemaskan dengan tali pinggang ataupun bengkong. Selain daripada cara yang disebutkan di atas, samping juga dipakai dengan pelbagai gaya supaya lebih menarik. Antaranya ialah dengan cara melipat-lipatnya di sisi badan dan menyimpulnya dengan simpulan seperti tanduk atau bunga, mengikatnya dengan tali pinggang atau bengkong. Jika tali pinggang digunakan, pending dipasangkan menjadi kepala tali pinggang supaya nampak lebih kemas dan lebih hebat.
    Pada asalnya samping lelaki adalah panjang hingga ke buku lali dengan bahagian hadapannya disingkatkan bagi menampakkan seluar di bahagian dalamnya. Kini samping yang lebih pendek; kakinya hingga ke paras lutut lebih digemari kerana lebih ringkas dan lebih selesa dipakai. Di sesetengah tempat, di Johor misalnya, samping dipakai oleh kaum lelaki di sebelah dalam di bawah baju kurung Teluk Belanga mereka. Samping yang dipakai dengan cara ini dipanggil kain samping dagang dalam. 

12.0 SELENDANG
                  Selendang biasa adalah lebih kecil dan lebih nipis daripada selendang panjang. Bagaimanapun corak selendang biasa lebih digemari kerana lebih ringkas dipakai. Selendang biasa dipakai dengan menyangkutkannya di atas satu bahu ataupun kedua-dua bahu; menutupi kepala dan bahu; diselempang di bahu kemudian melintasi badan dan diikat di pinggang; disangkut di bahu dengan hujung yang di belakang diselempangkan di belakang badan dan disangkutkan pada tangan (hujung yang satu bagi dilepaskan dihadapan badan) dan pelbagai cara lagi.
                  Selendang biasa diperbuat daripada tenunan sutera yang sudah menjalani proses ikat dan celup atau dikenali dengan nama kain limar. Sisi selendang biasa dikemaskan dengan tenunan benang emas. Kadang-kadang selendang ini juga disongket atau disulam dengan bunga emas. Di Kelantan, selendang biasa dipakai oleh kaum wanita sebagai kain kemban semasa mengenakan pakaian Cik Siti Wan Kembang. Selendang biasa juga turut digunakan dalam upacara lenggang perut iaitu upacara yang dibuat ketika wanita mengandung tujuh bulan.
 13.0 RUMUSAN
            Pada umumnya, adat resam budaya yang kita bina sejak berabad lama perlu dikekalkan dan dipelihara untuk kesinambungan generasi akan datang. Masyarakat Melayu menitikberatkan keperibadian luhur dan murni, serta dibekalkan dengan pakaian tradisi untuk melindungi anggota badan. Justeru itu, perkara ini perlu diteruskan sebagai satu usaha memelihara pakaian tradisional masyarakat Melayu agar terus dikenali sejajar dengan perkembangan dunia fesyen tanahair. Walaupun persaingan dunia peragaan dan busana telah berkembang pesat, tetapi permintaan terhadap pakaian tradisional Melayu masih mendapat tempat di hati masyarakat kita. Ini bertepatan dengan peribahasa Melayu yang berbunyi ’Tak lekang dek panas dan Tak lapok dek hujan’. Semoga kegemilangan pakaian tradisional Melayu akan terus terpelihara dan berterusan dari satu generasi ke generasi akan datang.